Tenun Pahang adalah satu tradisi menenun dicipta sejak berabad lalu yang merakamkan cara hidup, mitos, kepercayaan, pantang larang dan upacara tertentu. Ia memperlihatkan secara halus hubungan di antara tradisi menenun ini dengan alam sekitar yang mencermin pemikiran serta jiwa masyarakat tradisional Pahang. Hasil ilham dan ciptaan terbaik dari pilihan warna-warna lembut, Tenun Pahang mula berkembang kepada seni halus dan menjadi tekstil tenun khusus untuk golongan istana. Dalam hasil tenunan benang pakan dan losengnya turut diselitkan secara simbolik hubungan di antara raja dan rakyat. Melalui kain tenunan ini penenun yang mengabdikan diri mereka kepada seni kraf ini telah menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi mereka kepada pemerintah. Tidak hairanlah sekiranya kain Tenun Pahang diiktiraf dengan gelaran ‘Diraja’ dan kini dikenali sebagai Tenun Pahang Diraja. Malah, tidak dapat dinafikan juga bahawa Tenun Pahang Diraja turut menjadi symbol kepada status dan kuasa yang memperlihatkan kehalusan estetika serta kepekaan si pemakai.